Saturday, October 9, 2010

UCAPAN USTAZ HJ. SUHAIMI BIN HJ. AHMAD (1995)

Assalamualaikum wr. wbrt.

Syukur Alhamdulillah, hasrat untuk mendirikan Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum sebagai pusat pendidikan yang bertujuan mendidik anak bangsa dengan pengetahuan Agama Islam untuk menjadi ulama', tetapi hasrat murni tersebut telah dihalangi oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan sehinggalah pada November 1984 dengan izin Allah S.W.T, PAS Kedah berjaya membeli sebidang tanah seluas 48 relung di Batu 14, Pokok Sena, Kedah.

Rancangan ini telah berjalan setapak demi setapak mengikut kemampuan kewangan yang berjaya dipungut daripada ahli dan penyokong PAS di negeri Kedah dan seluruh Malaysia. Hasil sumbangan ini, PAS Kedah sedang berusaha membina sebuah kompleks pendidikan yang serba lengkap.

Semoga dengan terbangunnya Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum ini, ianya akan menjadi sebuah pusat pendidikan yang terkenal di rantau ini dan berperanan sebagai institusi Pendidikan Islam yang berjasa bukan sahaja kepada Umat Islam di negeri Kedah juga di Malaysia, bahkan di seluruh rantau Asia Tenggara ini.

Memandangkan kepupusan ulama' dan intelektual Islam yang berwibawa untuk mempertahankan kemurnian Islam, wajarlah institusi ini diwujudkan dan seluruh Umat Islam perlu memberikan sokongan yang padu ke arah kejayaannya demi kebaikan Islam dan umatnya di rantau ni.

Usaha ini tidak akan berjaya jika tidak ada sokongan dan kesedaran yang menyeluruh daripada masyarakat Islam. Oleh itu, sokongan terus menerus perlu diberikan oleh seluruh masyarakat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negaranya.

Saya berharap usaha serta sokongan ini akan dapat diteruskan sepanjang hayat kerana usaha yang murni seperti ini tentunya akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud, " Bertolong-tolonglah kamu di atas kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong menolong di atas dosa dan permusuhan dan takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras siksaNya".


(HJ. SUHAIMI HJ. AHMAD)
Setiausaha Majlis Muassasah Darul Ulum.
1 Rabiul Awwal 1416H / 29 Julai 1995.



0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates