Wednesday, September 29, 2010

TUJUAN PENUBUHAN MUASSASAH DARUL ULUM

OBJEKTIF

1. Melahirkan para ulama yang mampu mendokong dan melaksankan Islam sebagai cara hidup, serta mampu menangkis pakatan jahat musuh Islam dari dalam dan luar negara.

2. Menyedia dan melahirkan pemimpin Islam yang mampu menangani isu agama dan isu semasa.

3. Menyediakan kemudahan belajar di peringkat tinggi bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

4. Menyediakan kemudahan bagi tujuan imbangan pendidikan di sekolah-sekolah agama/bukan agama di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara.

Sejarah Awal Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum

MUQADDIMAH

Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum adalah cetusan idea bernas yang dikemukakan oleh pimpinan PAS Kedah pada penghujung tahun 1984 di bawah pimpinan Ustaz Hj. Fadzil Mohd Noor sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. 

Hasil daripada cetusan idea ini, PAS Kedah telah mengamanahkan kepada beberapa orang untuk mencari sebuah tapak yang sesuai untuk dibangunkan Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum.


PEMBELIAN TANAH


Beberapa bidang tanah yang sesuai di seluruh Kedah telah dikemukakan kepada pimpinan PAS Kedah yang akhirnya memilih sebidang tanah berhampiran jalanraya di Batu 14, Pokok Sena sebagai tapak untuk dibangunkan Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum.
 
Tanah Muassasah Darul Ulum seluas 48 relong ini asalnya adalah kebun getah kepunyaan Teh Choo Huat (Syarikat B And K Development Sdn. Bhd.) Nombor Geran 1138, 1139 dan 1140 telah dibeli dengan harga RM665 000.00 (Enam Ratus Enam Puluh Lima Ribu RInggit) dan diselesaikan pembayarannya pada November 1984.

Sebuah syarikat yang diberi nama Darul Ulum Sdn. Bhd. (DUSB) telah ditubuhkan untuk mengendalikan segala urusan mengenai Muassasah Darul Ulum.

Dengan penuh dedikasi dan ikhlas pimpinan PAS Kedah telah mengorak langkah memulakan projek pembinaan di atas tanah yang dibeli dengan Majis Pelancaran diadakan pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal 1407H bersamaan 10 November 1986M yang disempurnakan oleh Tuan Guru Hj. Yusoff Abdulah Ar-rawi, Yang Dipertua PAS Pusat pada masa itu.

RAMPASAN TANAH

Masjid yang berharga sekitar RM150 000.00 (Seratus Lima Puluh Ribu) ialah bangunan pertama yang dibangunkan di tapak tersebut. Belum pun separuh pembinaan masjid berjaya dilaksanakan, kerajaan negeri Kedah yang diperintah oleh Barisan Nasional pada masa itu, melalui Pejabat Tanah Kota Setar telah mengancam untuk merampas tanah tersebut jika pembinaan diteruskan.

Akhirnya, rampasan tanah Muassasah Darul Ulum secara rasminya dilakukan pada 30 Julai 1987 oleh kerajaan negeri Kedah (Barisan Nasional) walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakyat negeri Kedah.

Semua proses pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dihentikan. Rundingan demi rundingan diadakan sehinggalah pada 30 September 1989 kerajaan negeri Kedah (Barisan Nasional) bersetuju menyerahkan kembali tanah kepada PAS Kedah, tetapi perlu membayar kepada Pejabat Tanah Daerah Pokok Sena sebanyak RM80 619.50 (Lapan Puluh Ribu Enam Ratus Sembilan Belas Ringgit dan Sen Lima Puluh).

FASA PERTAMA

Alhamdulillah, dengan kehendak Allah SWT, Bangunan Fasa Pertama Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum telah berjaya disiapkan pada tahun 1997 hasil dermawan dan sumbangan daripada para pecinta Islam dari seluruh tanah air dan luar negara.

Fasa Pertama yang menelan belanja RM 1.16 juta merangkumi bangunan tiga (3) tingkat Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) menempatkan ruang pejabat, bilik pensyarah(12 unit), bilik mesyuarat, bilik kuliah(11 unit), perpustakaan, tandas(8 unit), bilik pengarah dan pendaftar.

FASA KEDUA


Fasa Kedua melibatkan pembinaan bangunan empat (4) tingkat Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU) yang menelan belanja sebanyak RM 1.64 juta.


FASA KETIGA


Fasa Ketiga telah berjaya disiapkan pada tahun 2005 melibatkan bangunan lima (5) tingkat asrama puteri yang menempatkan pelajar-pelajar puteri dari SMIDU dan siswi-siswi KIDU. Kos sebanyak RM 1 juta telah dibelanjakan untuk menyiapkan bangunan tersebut.


Selain itu, bangunan asal Masjid Muassasah Darul Ulum yang dibina pada tahun 1987 juga telah dinaik taraf pada fasa ketiga. Pembinaan bangunan tambahan Masjid Muassasah Darul Ulum telah melibatkan biaya sebanyak RM150 000.00 (Seratus lima puluh ribu ringgit).
  
AHLI MAJLIS MUASSASAH DARUL ULUM YANG PERTAMA (1997)

01. YB Dato' Haji Fadzil Mohd Noor - Pengerusi
02. Dato' Haji Mohd Muslim Haji Osman - Timbalan Pengerusi
03. Haji Suhaimi Haji Ahmad  - Setiausaha
04. Haji Mahmud Haji Ahmad  - Bendahari
05. Haji Mustafa Long   - Jawatankuasa
06. Haji Abd Rahim Abd Rahman   - Jawatankuasa
07. YB Haji Azizan Abd Razak  - Jawatankuasa
08. Haji Abd Halim Arshad  - Jawatankuasa
09. Haji Azahari Abd Razak  - Jawatankuasa
10. Haji Mahfuz Haji Omar  - Jawatankuasa
11. Hajjah Saadiah Haji Hussain  - Jawatankuasa
12. Haji Mohd Taulan Rasul  - Jawatankuasa
13. Haji Abd Aziz Hassan  - Jawatankuasa
14. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi - Jawatankuasa
15. Haji Mohd Najib Fahmi Haji Yahya - Jawatankuasa
16. Haji Shauqi Haji Ibrahim  - Jawatankuasa
17. Haji Abu Kasim Abdullah  - Jawatankuasa
18. Sdr Mohamad Yusof Hussin  - Jawatankuasa
19. Hajjah Wan Tom Mohd Noor  - Jawatankuasa
 

Template by:
Free Blog Templates